Kerjaya seni Azmee_Abdul_Manap

Sebagai jurutera bunyi

Azmee memulakan langkahnya dalam dunia seni sebagai seorang jurutera bunyi untuk Produksi Rakam Zalikamari, syarikat milik Zalikamari atau Tengku Shaifful Bahri Zalikamari, yang terkenal kerana menaikkan karier artis-artis tahun 1980-an, terutamanya Sheila Majid. Zalikamari juga terkenal melalui penerbitan lagu tema untuk rancangan animasi Usop Sontorian dan Keluang Man.

Sepanjang kerjayanya sebagai jurutera bunyi, Azmee pernah berkhidmat bersama syarikat rakaman berikut;

• Zalikamari Studio (1991 hingga 1993)
• Booty Studio (1994 hingga 1995)
• Nearfield Studio (1996 hingga 1998)
• Flare Studios[9] (1999 hingga 2003)

Permulaan kerjaya sebagai pemuzik dan penyanyi profesional

Azmee mula belajar bermain piano secara profesional bersama Belle Fatah, seorang pemuzik profesional dan penggubah lagu, yang juga merupakan adik kepada penggubah lagu terkemuka, S. Atan. Azmee kemudiannya memasuki kelas vokal di bawah kendalian Puan Siti Hajar, guru vokal terkenal tanah air.[10]

1991-1998: Kumpulan East

Pengaruh muzik rock dan metal mula meresapi jiwa Azmee semasa beliau masih di Tingkatan Enam pada tahun 1989. Atas minat yang mendalam terhadap muzik, beliau dan rakan-rakannya menubuhkan sebuah kumpulan yang dikenali dengan nama EAST. Kumpulan tersebut pernah hadir dengan dua buah album iaitu EAST (1992) dan Generasi Metal (1998).

“Ketika itu, rasa taksub terhadap muzik metal memang menggunung. Malah, bapa saya sendiri tidak tahu yang saya mempunyai sebuah kumpulan rock ketika itu.”

“Hingga saat ini, saya tidak pernah bercerita dengannya tentang masa silam saya ketika saya taksub dengan metal. Sedikit pun tidak dikongsikan.”

“Cuma dia ada pesan yang saya ini berasal daripada keluarga yang baik-baik. Jadi kena jaga peribadi. Rupa-rupanya dia pesan itu selepas dia mengetahui daripada rakan-rakannya yang saya terlibat dengan muzik metal.”[11] - Daqmie
”Ketika saya aktif dengan muzik rock, ayah banyak membimbing saya supaya tidak terjebak dengan perkara-perkara yang negatif. Dia tidak halang kerana tahu saya memang minat muzik.””Dengan peluang yang diberi saya gunakan sebaik-baiknya. Pembabitan saya itu semata-mata disebabkan minat, sebab itu saya masih lagi meneruskan kerjaya dalam bidang ini, meskipun lebih banyak melakukan kerja di sebalik tabir.”[12] - Daqmie

1997-kini: Transisi

Azmee kemudiannya menjadi penggubah lagu dan mencari apa lagi muzik yang bagus untuk beliau terokai. Dalam pencarian tersebut, beliau bertemu dengan muzik nasyid yang memberikan beliau satu nuansa yang sangat berbeza.

Segalanya bermula apabila beliau diberi peluang oleh komposer dan penerbit album terkenal, Farihin Abdul Fatah untuk melibatkan diri dalam penerbitan album kedua kumpulan Raihan, Syukur, pada tahun 1997. Pada tahun yang sama, Azmee dipertemukan dengan kumpulan Hijjaz dan beliau kemudiannya terlibat dalam penerbitan album Rindu, album keempat kumpulan tersebut pada tahun 1999.

Farihin juga telah menawarkan peluang kepada Azmee untuk bekerjasama dalam penerbitan album istimewa kumpulan Raihan sempena Ramadan dan Syawal pada tahun 1999. Kerjasama tersebut telah melahirkan album Maafkan yang diterajui kumpulan Raihan di samping kumpulan NowSeeHeart, Man Bai, Ajai, Rem dan Amir.

Setahun selepas itu, Azmee telah bekerjasama dengan kumpulan Rabbani, Rabbani Productions dan KRU Records untuk penerbitan album breakthrough Intifada.

Pada tahun 2003, kumpulan Rabbani telah menawarkan peluang kepada Azmee untuk menjadi penerbit album, penggubah lagu dan penyusun muzik yang tetap untuk Rabbani Productions.

Beliau juga telah berpeluang untuk bekerjasama dengan penyanyi solo dan kumpulan nasyid tempatan yang lain antaranya Nazrey Johani (bekas penyanyi utama kumpulan Raihan), Brothers, Saujana, Datuk Sharifah Aini, Saleem, A to Z, kumpulan Redang, Mu'adz Dzulkefly, As-Saufee, Diwani, Durrani, Haikal, Ideal, In-Team, Mestica, Sabda, Wildan, Varians, Demascus, AlarmMe dan kumpulan FINE.

Selain itu, beliau pernah bertindak sebagai penerbit album kerohanian pertama penyanyi bersuara lantang, Aishah menerusi album Anak yang diterbitkan pada tahun 2010.

2000-2003: Kumpulan Barongan

Azmee kembali ke dunia seni suara dengan menyertai Kumpulan Barongan yang memperjuangkan muzik rock dan metal tetapi mempunyai pendekatan yang menuju ke arah kerohanian, keimanan dan ketakwaan. Kumpulan tersebut popular dengan lagu-lagu seperti Kalimat Ke-7, Siapa Yang Kena, Titik Musafir, Liya Juwita, Tinggal Satu Tangki, Harung, Mereka, Aku Kaya dan Nasuha.[13][14]

Beliau yang pada masa itu lebih dikenali dengan nama panggilan D'Miee, disifatkan sebagai seorang penyanyi yang cukup berkuasa kerana mempunyai kekuatan vokal yang lantang dan keras. Beliau juga mempunyai kebolehan berqasidah dan mengaji Al-Quran dengan baik. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya menarik diri daripada kumpulan tersebut untuk menumpukan perhatian kepada kerja-kerja penerbitan filem dan album runut bunyi untuk filem animasi versi alih bahasa Muhammad Utusan Terakhir.

2004-kini: Pendita (Dendang Anak)

Azmee kemudiannya menyertai Persatuan Kebudayaan Dan Muzik Melayu Nusantara Malaysia, yang lebih dikenali sebagai kumpulan Dendang Anak, sebagai salah seorang penyanyi, pemain keyboard dan penerbit dari tahun 2004 sehingga kini.

2008: Lagu runut bunyi untuk filem Selamat Pagi Cinta

Azmee telah diminta oleh Brian Ng, seorang komposer yang berkerja dengan studio muzik milik Metrowealth International Group (MiG) (kini Metrowealth Pictures) pada ketika itu untuk mencipta sebuah lagu runut bunyi untuk filem Selamat Pagi Cinta. Lagu tersebut yang juga berjudul Selamat Pagi Cinta mempunyai dua versi; versi pertama merupakan lagu asal nyanyian Azmee sendiri, sementara versi yang kedua merupakan lagu versi instrumental yang digunakan dalam filem tersebut.[15]

2013-kini: Sebagai artis solo

Album solo pertama: Maulaya

Tidak lama selepas Azmee menerbitkan album kumpulan In-Team yang berjudul Iman & Aman, Pengarah Urusan Inteam Records ketika itu, Izham Shah Mat Anuar, telah menghubungi beliau dan menawarkan peluang untuk penghasilan album.

Pada mulanya, Azmee menyangka bahawa Izham hanya bergurau dengan beliau tentang tawaran tersebut. Beliau merasa bahawa beliau sudah tua untuk mengeluarkan album solo dan mungkin tiada sesiapa yang mahu mendengar lagu-lagu beliau. Izham kemudiannya meyakinkan Azmee bahawa sebenarnya ramai peminat lagu-lagu ciptaan beliau yang menantikan album solo daripada beliau.

Dengan berbekalkan pengalaman selama 14 tahun (sejak tahun 2000) dalam penerbitan lagu dan album untuk artis-artis nasyid terkenal, serta barisan krew penerbitan yang sangat berpengalaman antaranya Alfa dan Rumie Booty (anak-anak kepada Kesuma Booty) serta Along Exists, hasilnya Azmee tampil dengan album solo beliau yang pertama pada tahun 2013 di bawah label Inteam Records berjudul Maulaya yang turut memuatkan lagu hit beliau, Tangis Sebatang Tamar.

Selain daripada lagu Tangis Sebatang Tamar, album tersebut juga menampilkan lagu-lagu runut bunyi daripada filem 7 Petala Cinta yang telah diberikan nafas baru.

Alam Musiq

Azmee kini bernaung di bawah syarikat rakaman beliau sendiri iaitu Alam Musiq, yang telah ditubuhkan pada tahun 2013, di mana ITO Lara bertindak selaku pengurus kerjaya beliau.

Selain itu, beliau telah membuka sebuah akademi pembelajaran vokal dan muzik secara silibus yang juga dikenali dengan nama Alam Musiq pada tahun yang sama. Alam Musiq membuka pengambilan pelajar dalam bilangan yang kecil dan mereka diberikan pengajian secara percuma.

Selain belajar bermain muzik dan menyanyi, pelajar yang menuntut di akademi tersebut turut diajar tentang aspek penulisan lirik dan penghasilan lagu serta aspek teknikal sebagai persediaan sebelum menjadi jurutera muzik dan anak seni yang serba boleh.[16]

Selepas mereka menamatkan pengajian dan memperoleh diploma, mereka akan disalurkan sebagai tenaga pengajar dan akademi tersebut akan mengenakan yuran pembelajaran secara berperingkat.

Azmee yang merupakan salah seorang panel NOSS (Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan) di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia, mempunyai kelayakan dan kelebihan untuk mengurus tadbir akademi berkaitan kemahiran tempatan dan ia termasuklah kemahiran muzik dan vokal.[17]

2016: Lagu Langkah Pendekar

Azmee telah merakamkan sebuah lagu yang berjudul Langkah Pendekar khas untuk rancangan realiti Akademi Silat Pendekar Muda yang disiarkan di saluran televisyen TV AlHijrah. Lagu dan lirik lagu tersebut dicipta oleh Muhammad Nurazmi.[18][19]

Oktober 2018: Lagu Kitakan Sekampung

Azmee telah mencipta sebuah lagu tema untuk kempen Kitakan Sekampung, sebuah inisiatif di bawah program 3K iaitu Karnival Kampungku Kesayanganku anjuran Kerajaan Negeri Selangor. Lagu yang juga berjudul Kitakan Sekampung itu dinyanyikan sendiri oleh Azmee bersama Tisya.[20][21][22]

Kempen Kitakan Sekampung bertujuan memupuk semangat kekitaan dan mengelakkan pergaduhan dalam masyarakat. Selain itu, kempen tersebut juga menerapkan sifat jati diri agar rakyat tidak lupa asal usul mereka.

Kredit

Penyanyi: Daqmie & Tisya
Penulis lirik : Waie Ramly / Dr. Mir Hazil
Penerbit lagu: Daqmie
Penulis lagu: Daqmie
Susunan muzik: Alfa Booty / Daqmie
Programming dan muzik : Alfa Booty dan Rumie Booty
Penata bunyi: Rumie Booty dan Ratno Junaidi
Studio mixing & mastering: RML Studio

2019: Lagu Remuk

Azmee telah tampil dengan sebuah lagu terbaru bersama Daqmie Band yang berjudul Remuk ciptaan beliau sendiri, manakala lirik lagu tersebut pula dicipta oleh Alfa Booty. Lagu tersebut merupakan lagu runut bunyi untuk telefilem Remuk terbitan P & D Pictures Sdn. Bhd. yang pertama kali disiarkan di saluran televisyen TV3 pada 4 Jun 2019 sempena Hari Raya Aidilfitri.[23] Selain lagu Remuk, dua buah lagu daripada album solo Azmee yang pertama, Maulaya, iaitu lagu La Ilaha Illa Allah dan lagu Kasih Abadi (menampilkan Aznan Alias) turut menjadi lagu runut bunyi untuk telefilem tersebut.[24]

Anugerah dan penghargaan

Azmee telah memenangi anugerah Album Nasyid Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-15 (2008) menerusi album Maulana yang diterbitkannya bersama kumpulan Rabbani.

Selain itu, beliau juga telah muncul sebagai Juara Nasyid Terbaik di Anugerah Nasyid IKIMfm 2014 (ANI2014) yang telah berlangsung pada Januari 2015 melalui lagu ciptaan beliau bersama ITO Lara, seorang penulis lirik lagu nasyid terkenal tanah air, iaitu lagu Tangis Sebatang Tamar. Beliau juga telah memenangi kategori Lagu Paling Banyak Menjuarai Carta dan Vokal Terbaik. ITO Lara pula telah memenangi kategori Lirik Terbaik menerusi lagu tersebut.

Tiga tahun selepas itu, beliau telah memenangi tempat ketiga dalam anugerah yang sama (kini dikenali sebagai Anugerah Nasyid) edisi 2017 (AN17) yang telah berlangsung pada Januari 2018 melalui lagu ciptaan beliau juga iaitu lagu Jalan Syahadah.

Rujukan

WikiPedia: Azmee_Abdul_Manap http://www.cdf.gov.eg/tobool/?q=english-data-team/... http://itbm.com.my/shop/pages/gallery/album/malam_... http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d... http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=022... http://m.utusan.com.my/hiburan/hidayah-melalui-muz... http://m.utusan.com.my/hiburan/selebriti/mencari-p... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt... https://itunes.apple.com/my/artist/daqmie/73791036... https://www.deezer.com/ms/artist/5330099 https://m.facebook.com/permalink.php?id=7177505882...